Tuesday, June 26, 2018

Mengadu Pada Dia

Assalamualaikum

Sehari lepas aku ada update di status whatsapp yang aku tiada tempat mengadu. Betul, aku banyak menyimpan perasaan tapi banyak juga yang aku luahkan pada orang lain dan status status aku di whataapp, fb dan instagram. Walaupun begitu, hati aku rasa bercelaru, aku rasa luahanku seperti diejek. Orang pun mungkin sudah berasa jelek.

Setelah sekian lama, akhirnya  malam ini aku mencuba semula untuk mengadu perasaan aku pada dia. Semasa aku mengadu, air mata aku tak berhenti-henti mengalir. Segalanya bagai terlayang di depan mata aku

Aku banyak menyimpan kesedihan dalam diri.

Aku seorang penghutang. aku tak hidup mewah tapi masih boleh tidur di dalam rumah, makan secukupnya, tapi aku tiada perkembangan lain. Aku tiada aset, tiada simpanan, tiada rumah seperti rakan rakan lain dan gaji aku setengahnya habis untuk membayar hutang peribadi dan membeli tiket kapal terbang.

Aku seorang isteri yang tak menunaikan tanggungjawabnya pada suami. Aku cuma mampu berterima kasih kepada Allah setiap kali rakannya memasak untuknya, memberi makanan kepadanya, menjaga emosinya dan menjaga sakit peningnya. Syukur suamiku independant, boleh juga menjaga dirinya dengan baik dan memasak makanan yang aku rasakan enak melalui kiriman foto melalui whatsapp.

Aku seorang wanita yang masih belum ada zuriat. aku yakin, aku pernah hamil 2-3 minggu tapi kandunganku tak kukuh kerana terlalu letih dan aku angkat barang berat. aku turun darah sambil menanggung kesakitan seorang diri. aku gagahkan berpantang ikut kemampuan aku sendiri. aku sarung stokin setiap malam, aku minum air suam, perlahankan kipas dan aku teruskan buat rph sampai satu pagi walaupun air mata aku tak henti-mengalir dek sakit dan kesedihan menanggung kehilangan seorang diri. Aku sampai tidak balik ke Semenanjung kerana perasaan aku terlalu fragile, suami yang banyak menghiburkan hati aku dalam tempoh tersebut.

Aku juga anak yang tak berpeluang berbakti pada ibu bapaku. Sejak aku mula bekerja hingga hari ini, aku masih tak mampu berada dekat dengan mereka selalu dan menjaga pakai minum mereka. Aku akan balik dalam keadaan terlalu letih kerana perjalanan yang jauh dan panjang, menjadikan mereka yang menjaga aku dan menberi aku makan dan keselesaan. Aku mahu menjaga mereka, bawa mereka berjumpa doktor untuk checkup, belikan mereka pakaian dan barang-barang baru, bawa mereka pergi bercuti dan menjaga mereka waktu sakit.

Aku berusaha mencari sisi positif dalam hidupku dalam waktu sukar ini tapi hampa. Jiwa aku kosong. Aku masuk ke dalam kelas tanpa ada sekelumit rasa apa dan keluar setelah tamat masa mengajar. Umpama robot yang tiada perasaan. Pandanganku pada mereka kosong, tiada rasa kasih dan empati. Aku sungguh sayangkan mereka, tapi hati aku sendiri tercarik-carik. Aku cuma minta untuk pulang, pulang pada sarang aku.

Semua di atas ini kuluahkan tanpa sebarang suara walaupun air mata aku setia mengalir. Aku yakin dia mendengar dan memahami apa yang tersirat dalam hati aku. Dan akhirnya, aku dapat juga ketenangan yang ku cari-cari. Walaupun luahanku tiada balasan suara, tiada pelukan dan tiada jawapan, aku beroleh ketenangan. Jawapan dan balasan aku peroleh dalam bentuk ketenangan hati. Allahuakbar, betapa aku cari orang untuk meluahkan kesedihan, akhirnya pada Dia yang aku pandang sepi inilah yang memberikan aku ketenangan. Terima kasih ya Allah..

Semoga kau perkenankan hajat2ku dan hajat suamiku ya Allah..

No comments:

Post a Comment